23 June 2008

Mata Penuh Impian Skuad Kijang


Anokkelate ketika menemubual Azman Ibrahim

Anokkelate & RedsFC

Kota Bharu- Perlawanan menentang Melaka Selasa ini merupakan pentas terbaik skuad kijang untuk mengutip mata penuh bagi menghidupkan semula peluang untuk layak ke suku akhir dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Kekalahan kepada Sarawak dan seri dengan Negeri Sembilan haruslah dilupakan sejenak oleh pemain Kelantan bagi menghadapi lawan seterusnya, pasukan Melaka.

Berdasarkan rekod dalam TM Liga Perdana musim 2007/2008, Kelantan mempunyai kelebihan kerana memenangi kedua-dua perlawanan ke atas Melaka.

Menurut pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim, beliau berharap skuad Kijang dapat memungut mata penuh. Beliau yakin dan percaya skuad kendalian Regis Languesse mampu mempamerkan aksi mantap yang diharapkan oleh semua peminat.

Beliau yang ditemui oleh Unit Media KelateDotNet berharap semua peminat terus datang ke stadium untuk memberi sokongan kepada Pasukan Kelantan.

Ketika diminta mengulas mengenai prestasi pemain import, Azman meminta semua pihak memberi peluang kepada Enock Bentil untuk mempamerkan persembahan terbaik malam esok.

Tambahnya lagi, Regis Languesse tidak boleh mengubah pasukan dalam masa yang singkat, oleh itu berilah peluang kepada Regis untuk membuktikan kemampuannya kepada kita.

Kelantan juga menghadapi masalah kekurangan dari segi kecergasan kerana mudah letih apabila sering diserang pihak lawan. Perlawanan menentang Negeri Sembilan dijadikan contoh tahap pasukan yang masih dibawah.

Azman juga melahirkan rasa terkilan dengan prestasi semasa Mohamodou Mustopha yang lebih bersifat individual dan tidak memberi kerjasama kepada rakan-rakan sepasukan yang lain.

Mohamodou Mustapha yang menjadi penjaring terbanyak Kelantan musim ini dilaporkan akan meninggalkan skuad untuk berhijrah ke Vietnam selepas Piala Malaysia tamat. - Unit Media KDN Kota Bharu

0 comments: