10 October 2008

Presiden KAFA meriahkan sambutan Hari Raya Kelate Dot Net



Sempena dengan sambutan Aidilfitri 1429, Komuniti Kelab Penyokong Siber Bolasepak Kelantan, Kelate Dot Net (KDN) telah menganjurkan majlis sambutan perayaan tersebut bertempat di Hotel Juita Premier, Kota Bharu semalam. Selain mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan ahli, majlis berkenaan turut digunakan untuk membincangkan hala tuju Kelate Dot Net di masa hadapan.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan, Marhashim Mat berkata, majlis berkenaan dihadiri Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Hj. Annuar Musa dan dua orang pemain skuad Liga Perdana Kelantan iaitu Khairan Eroza Razali dan Zairul Fitri Ishak. Pihak kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih, diatas kesudian Presiden KAFA merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Kelate Dot Net 1429 dan sudi meluangkan masa untuk berdialog dengan ahli-ahli yang hadir.

“Ahli-ahli Kelate Dot Net sebagai peminat setia begitu menghargai kesudian Yang Berbahagia Tan Sri Presiden KAFA hadir kerana secara tidak langsung kami dapat menerima maklumat terkini secara telus dari sumber yang salih.

“ Kesudian Tan Sri Presiden turun padang memeriahkan majlis ini dan berkongsi info berkaitan persiapan pasukan Kelantan musim hadapan sekali gus dapat memberikan jawapan yang tepat tentang persiapan pasukan”, katanya.

Sementara itu, Tan Sri Haji Annuar Musa ketika menyampaikan ucapannya berterima kasih dan menghargai sokongan yang telah diberikan oleh pihak Kelate Dot Net dalam , membantu menaikkan bolasepak Kelantan. Katanya di dalam bola sepak antara pihak pengurusan, pemain dan penyokong sememangnya saling memerlukan. Justeru, peranan yang telah dilakukan oleh pihak Kelate Dot Net semenjak sembilan tahun lalu dalam membantu memartabatkan kembali maruah bola sepak Kelantan cukup dihargai.

Menurut Presiden KAFA itu, majlis seumpama ini cukup bagus diadakan kerana melalui majlis seperti inilah sesi percambahan minda dan penambahanbaikkan berkaitan pembangunan bola sepak Kelantan dapat dikongsi bersama dengan peminat – peminat.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai persiapan Skuad Kijang untuk musim hadapan, beliau berkata Kelantan sudah pun mempunyai barisan yang hampir lengkap bagi mengharungi cabaran musim hadapan. Malahan Ketua Jurulatih Kelantan yang baru, Peter James Butler bakal menggalaskan tugasnya seawal minggu hadapan.

“ Ketika sepak mula Liga Malaysia bakal bermula tiga bulan lagi, kita mengambil langkah memulakan persiapan daripada sekarang bagi menghadapi saingan musim hadapan. Setakat ini, kita sudah punyai senarai pemain yang hampir melengkapkan keseluruhan pembentukan pasukan bagi menghadapi musim baru yang dijangka bermula pada bulan Januari nanti. Malahan beberapa anak negeri yang bermain untuk pasukan luar juga turut berhajat pulang menabur bakti bersama negeri sendiri” jelasnya.

“ Kelantan juga bakal diperkuatkan oleh beberapa pemain kebangsaan yang dijangka menyertai latihan intensif pada pertengahan bulan ini “ ujarnya sambil enggan menamakan pemain tersebut sehingga urusan menandatangani kontrak pemain selesai pada minggu ini.